Rm8 juta Hilang!!!!!!OMG



KUALA LUMPUR: Tindakan licik tiga penjenayah memanipulasi sistem van keselamatan dalam rompakan yang dipercayai terbesar sejak beberapa tahun lalu di sebuah pusat beli-belah di Taman Segar di sini, malam kelmarin, mengelirukan pihak berkuasa.

Menurut sumber, kumpulan penjenayah bersenjata api itu dapat melengahkan siasatan kes itu hingga polis menyangka mereka gagal mengambil wang tunai sedangkan lebih RM8 juta sudah dilarikan.

Katanya, beg kosong sengaja ditinggalkan bagi menunjukkan seolah-olah penjenayah terbabit panik dan kesuntukan masa untuk melarikan wang tunai selepas enjin kenderaan itu mati tiba-tiba.

Dengan memanipulasi sistem ‘immobiliser’ yang digunakan pada van terbabit, polis menumpukan usaha membuka pintu yang ditutup secara automatik jika berlaku sesuatu di luar jangkaan, termasuk rompakan.

Bagaimanapun, selepas pintu dibuka dan kiraan semula dilakukan kira-kira tujuh jam di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Cheras, polis dan pengurusan syarikat keselamatan itu menyedari wang yang disangkakan berada dalam van berkenaan, lesap.

Kehilangan wang terbabit disedari jam 2 pagi selepas kes itu dilaporkan.

Ini berikutan kesukaran membuka pintu van selain tindakan berhati-hati polis bagi mengelak sebarang bahan bukti seperti cap jari hilang.

“Ketika kejadian, van dilarikan perompak terbabit dipercayai membawa 10 beg berisi wang bernilai RM10 juta berikutan baru membuat kutipan dari sebuah syarikat telekomunikasi di pusat beli-belah berkenaan.

“Kumpulan perompak itu mengkaji kelemahan sistem keselamatan yang dipasang pada van terbabit sebelum memanipulasinya bagi menggambarkan seolah-olah rompakan itu gagal.

“Mereka dapat mengalihkan perhatian pihak berkuasa yang berusaha membuka pintu van yang ditinggalkan 200 meter dari pasar raya berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, hanya tinggal dua beg mengandungi hampir RM2 juta di dalam van berkenaan.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan sedang diteliti bagi mengenal pasti dalang kejadian itu.

Polis menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk tidak menolak kemungkinan rompakan terbesar tahun itu angkara orang dalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, enggan mengulas lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan kejadian rompakan itu berlaku jam 7.10 malam ketika empat pengawal keselamatan berusia 20 dan 30-an itu baru selesai memungut wang sebelum didatangi tiga penjenayah dengan dua bersenjatakan pistol.

Penjenayah bertindak melarikan van berkenaan sejauh 200 meter dari tempat kejadian sebelum mereka melarikan diri.

Kes terbesar lain membabitkan wang RM5 juta apabila sebuah van syarikat keselamatan dirompak di Jalan Sungai Chua Kajang pada 9 Julai 2006.

0 comments:

Post a Comment