Siapa yang bersalah
Bapa huni stor usang
MASJID TANAH: “Biarlah saya hidup sendiri hingga ke akhir hayat. Saya reda jika ditakdirkan tiada siapa di sisi apabila saya menghembuskan nafas terakhir kelak.”
Begitulah luahan seorang bapa, Abd Hamid Md Tahir, 65, berikutan amat kesal atas tindakan anak-anaknya yang didakwa enggan mengakuinya sebagai bapa kandung mereka.
Difahamkan hubungan dengan anak-anaknya terputus sejak 25 tahun lalu selepas Abdul Hamid meninggalkan isterinya yang didakwa ‘bermain kayu tiga’.
Akibat disisihkan lima anak kandungnya, dia terpaksa membawa diri sebelum menjadi penghuni tetap sebuah bilik stor kecil di dalam kawasan sebuah masjid lama yang tidak lagi digunakan di bandar ini sejak beberapa bulan lalu selepas tidak lagi menumpang di rumah adiknya, di Masjid Tanah.
Ketika ditemui, Abd Hamid nyata terlalu terharu dan sebak bagaikan teringatkan sikap anak-anaknya yang dikatakannya ditatang bagai minyak yang penuh ketika kecil.
Menurutnya, seorang daripada anaknya hanya mengaku dia bapa angkat saja manakala anak-anak lain juga sudah lama tidak ditemui selepas kali terakhir pada Syawal beberapa tahun lalu.
Kesedihan Abd Hamid sememang tidak mampu ditanggungnya, apatah lagi dia sendirian di stor yang hanya sesuai sebagai tempat menyimpan pinggan mangkuk kerana ruangnya sempit untuk melepas penat lelah seharian.
Tanpa sebarang peralatan mewah mahupun cawan dan periuk belanga serta hanya beberapa helai seluar dan baju, Abd Hamid berteman sebuah bantal busuk untuk mengalas kepalanya ketika tidur.
“Inilah kehidupan saya selepas anak-anak tidak mengaku saya ayah mereka. Mungkin mereka marah kepada saya kerana meninggalkan mereka lima beradik ketika berusia antara dua hingga 12 tahun kerana berpisah dengan bekas isteri lebih 25 tahun lalu.
“Saya sedih, mereka sanggup meminggirkan kehidupan saya ketika ini, tambahan pula saya hanya bersendirian di sini. Cukuplah sekadar menjengah atau bertanya khabar jika tidak mahu mengaku ayah sekalipun,” katanya sayu.
Menurutnya, dia pernah bertemu seorang daripada anaknya beberapa tahun lalu, tetapi tiada seorang mengajaknya tinggal bersama, malah dia hanya diberikan RM5 saja untuk menikmati makan tengah hari ketika itu.
“Jauh sekali untuk menghulur wang atau pakaian baru pada raya, malah mahu bertemu dengan mereka juga amat susah kerana mereka mungkin menganggap saya sebagai orang asing dalam kehidupan mereka,” katanya yang tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Abd Hamid berkata, dia sedih tidak dapat menceritakan sebab utama dia meninggalkan anak-anaknya.
“Apapun saya berdoa dan tetap mengharapkan anak-anak akan terbuka hati memanggil saya sebagai bapa kerana saya berasakan tidak akan hidup lama,” katanya.
Sementara itu, Abd Hamid berkata, dia tinggal di bilik kecil itu selepas mendapat persetujuan daripada seorang penjaga masjid dengan diberi upah RM50 sebulan untuk menjaga masjid lama itu.
Menurutnya dia juga ada menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Disebabkan tidak bekerja, dia hanya mengemas kawasan masjid dan kubur lama serta menanam beberapa batang cili sebagai mengisi masa lapangnya, untuk menghilangkan kesedihan dan melayan perasaan sendirian.
Posted by
Blongroup
On
12 October 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment